SPECIAL ADS

5 April 2013

Bukhairy Suffian calon mahasiswa di Pekan



[Bukhairah) - Tengah
 dan rakan-rakan selepas diumum calon mahasiswa di Pekan]

KUALA LUMPUR 05 Apr: Gerakan Mahasiswa pru-13 (GM13) hari ini mengumumkan Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Nasional, Mohd Bukhairy Mohd Suffian sebagai calon mahasiswa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Pengumuman itu dilakukan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang, di Dewan Perhimpunan Cina, sebentar tadi.

Safwan, sebelum pengumuman itu, berkata penyertaan mahasiswa dalam pru kali ini adalah sebagai satu proses demokrasi yang harus disanjung tinggi.

"Dapatan kami ketika mengunjungi Pekan baru-baru ini, mendapati masih banyak keluh-kesah daripada penduduk Pekan berhubung isu setempt yang masih tidak selesai biarpun di kawasan perdana menteri sendiri," tegas beliau pada satu sidang media.

Sementara itu, Bukhairy berkata, beliau bersedia membawa polisi baru pengajian tinggi yang dituntut mahasiswa selama ini.

Beliau yang mengharapkan agar mendapat sokongan rakyat, bagaimanapun tidak menolak sekiranya Pakatan Rakyat turut meletakkan calon di kerusi itu yang akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Ketika ditanya mengapa GM13 hanya meletakkan seorang calon, Safwan berkata ia bagi memudahkan jentera mahasiswa untuk menumpukan kepada hanya satu kerusi.

"Biarpun kami mendapat maklum balas yang baik daripada beberapa tokoh akademik, malah ada yang meminta meletakkan seorang lagi calon daripada mahasiswi, kami memutuskan untuk tumpu di parlimen Pekan sahaja," tegas Safwan.

Dalam pada itu, Safwan menafikan tujuan mahasiswa menyertai pru ini sebagai satu 'pemberontakan', sebaliknya ada isu yang ingin dibawa ke parlimen yang memerlukan perhatian serius daripada kerajaan yang memerintah.

Bukhairy, pelajar jurusan akhir Sains Politik Islam, Universiti Malaya itu akan bertanding menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di parlimen Pekan.

Beliau akan bertanding dengan menggunakan tiket Bebas, sekaligus bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru di parlimen itu.

Pada pilihan raya umum 2008, parlimen Pekan menyaksikan Najib mengalahkan calon PKR,  Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti 26,464 undi.

Pada 4 Mac lalu, GM13 melancarkan manifestonya, dalam usaha ke arah mewujudkan universiti yang mandiri, demokratik dan berautonomi.

Manifesto yang didokumenkan sebagai Polisi Baharu Pengajian Tinggi Negara itu (PBPTN) menggarapkan lapan teras, merangkumi modal insan, kepatuhan kepada perlembagaan, kebebasan akademik, merakyatkan demokrasi, autonomi penuh institut tertiari, autonomi kemahasiswaan, pendidikan percuma dan hak kesamarataan. 


Tiada ulasan: