SPECIAL ADS

16 April 2013

Calon MB Kedah Baru


16 Apr :Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Mahathir akan bertanding di kerusi DUN Ayer Hitam dalam pilihan raya umum 5 Mei ini.

Ayer Hitam adalah salah satu DUN dalam parlimen Jerlun yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu. Satu lagi DUN adalah Kota Siputeh.

Keputusan parti mempertaruhkan Mukhriz di kerusi tersebut menguatkan lagi desas-desus beliau akan dilantik menjadi menteri besar jika BN menawan semula negeri itu.

Perkara ini sudah lama dispekulasikan, malah pemerhati politik menganggapnya sebagai masalah kerana Mukhriz sering dilihat berusaha menepis cakap-cakap itu.

Kemungkinan itu juga dikatakan kurang disenangi oleh akar umbi, termasuk penyokong pengerusi badan perhubungan Umno negeri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah mungkin boleh bersetuju, tetapi tidak semestinya menjadi penyokongnya. 

Oleh itu, soal penerimaan Mukhriz sebagai calon MB masih tidak jelas dan ini mungkin boleh menjejaskan peluang BN.

Daripada aspek lain pula, Mukriz yang dilihat sebagai 'legasi' bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin memberi masalah kepada BN dalam rangka menawan negeri Jelapang Padi itu. 

Ini kerana difahamkan terdapat kelompok 'anti-Mahathir' dalam BN sendiri yang mungkin gelisah dan tidak senang dengan kemungkinan itu.

Sementara itu, Ahmad Bashah, penyandang kerusi DUN Bakar Bata pula akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008. 

Beliau dijangka berdepan dengan bekas pembantu kepada ketua umum PKR, Eekmal Ahmad.
Sementara itu, bekas menteri besar Datuk Seri Mahdzir Khalid akan bertanding kerusi parlimen Padang Terap menentang penyandangnya Nasir Zakaria pada pilihan raya umum nanti.
Mahdzir terpaksa melepaskan kerusi Pedu yang disandangnya sebelum ini dan ia diserahkan kepada Kama Nooriah Ibrahim. 

Tiada ulasan: