SPECIAL ADS

13 April 2013

Ibu Tunggal Di Umpan RM5,000

PETaLinG jaYa - Sebuah firma  peguam, Tetuan Kamarudin & Partners didakwa menjadi dalang di sebalik tuntutan ibu tunggal yang menyaman Kerajaan Negeri Selangor dengan  menjanjikan RM5,000 kepada mereka yang menyertai saman itu.

Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail berkata, beliau menerima aduan rasmi berkaitan borang yang memberi kuasa kepada sebuah firma guaman yang berdaftar untuk menuntut elaun ibu tunggal daripada Kerajaan Negeri Selangor. Katanya, ibu tunggal dan anggota keluarga yang terlibat dengan saman itu mendedahkan bahawa mereka dijanjikan RM5,000 hanya dengan mengisi borang untuk menyertai saman itu.

Pendedahan tersebut susulan daripada penemuan bulan lepas bahawa firma tersebut juga terlibat dalam pengedaran sekeping borang yang lain kepada warga emas yang menjanjikan RM1,000 sebulan jika menandatangani borang tersebut.

“Mereka (ibu tunggal) dimaklumkan oleh pihak terbabit, bahawa tuntutan elaun yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Selangor boleh diperolehi menerusi tindakan Peguam Tetuan Kamarudin & Partners bagi pihak ibu tunggal yang menandatangani borang tersebut,” kata Rodziah.

Beliau membuat pendedahan tersebut dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, di sini.
Tambah Rodziah, tindakan firma itu boleh disabit sebagai ‘touting’ oleh  Akta Kerjaya Perundangan 1976, iaitu mencari pelanggan secara tidak sah di sisi undang-undang.

“Saya mohon agar pihak ibu tunggal berhati-hati supaya tidak menjadi bahan atau mangsa mereka apatah lagi dalam suasana pilihan raya ini".

“Jika mereka (firma guaman) benar-benar prihatin dengan ibu tunggal, di mana mereka selama ini?” soalnya.
Jelas Rodziah, aduan yang diterima akan disusuli dengan surat dan laporan kepada Majlis Peguam dan
Pendaftar Mahkamah Tinggi. Menurut Rodziah, Kerajaan Negeri tidak pernah membuat janji memberi elaun sedemikian kepada semua ibu tunggal di Selangor.

Pada 25 Mac, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, mendedahkan
bahawa sekeping borang diedarkan kepada 100 warga emas di Sungai Chua, Kajang. Melalui borang itu, warga emas akan diminta memberikan nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat dan tandatangan.

Warga emas yang menandatangani borang itu kononnya akan dijanjikan untuk diberikan elaun khas
berjumlah RM1,000 oleh Kerajaan Negeri. Borang tersebut kemudiannya akan digunakan oleh Tetuan Kamarudin & Partners untuk menyaman Kerajaan Negeri Selangor.

Tiada ulasan: