01 Apr : "SAYA sedia berdialog dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya dijemput oleh mereka," demikian reaksi Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang berkata, sekiranya Kay Kim berminat dengan bola sepak, FAM bersedia untuk menjemputnya menghadiri satu taklimat di Wisma FAM Kelana Jaya.
Kenyataan itu susulan pandangan Kay Kim yang menyifatkan persatuan bola sepak negara itu dilihat ‘hilang’ arah tuju dalam pembangunan bola sepak tempatan.
Menjelaskan keadaan itu, Kay Kim yang tidak takut atau gentar dengan ajakan badan induk bola sepak itu menegaskan bahawa setiap pandangan yang diutarakan adalah kebenaran yang perlu diterima semua pihak.
"Boleh, saya bersedia bila masa-masa sahaja sekiranya betul FAM menjemput saya menghadiri satu taklimat di sana.
"Itu satu perkara yang baik dan kami boleh berbincang mengenai pandangan masing-masing.
"Lagipun, saya tidak takut kerana setiap pandangan yang diberikan mengenai FAM adalah realiti dan mereka harus menerimanya," kata Kay Kim dihubungi Sinar Harian Online.
Dalam laporan media tempatan baru-baru ini, Azzuddin memberitahu, FAM bersedia untuk bersemuka dengan Kay Kim bagi menjelaskan mengenai sistem pengurusan FAM.
Jelasnya, beliau menganggap pendekatan tersebut lebih ideal berbanding ‘menyerang’ FAM tanpa usul periksa.
Mengulas lanjut, Kay Kim berkata, beliau tidak pernah mengkritik tanpa usul periksa, sebaliknya pandangan yang diberikan adalah perkara realiti yang dihadapi oleh badan induk bola sepak itu pada masa kini.
"Saya tidak tahu kenapa mereka (FAM) mahu menyalahkan saya dalam hal ini, saya memberi pandangan berdasarkan sejarah. Saya tahu sejarah bola sepak negara.
"Mereka sepatutnya faham atau mereka buat-buat tak faham. Saya pun pelik.
"Apa yang saya tahu saya akan beri pandangan sekiranya itu benda yang benar," ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya harapan FAM agar beliau akan dapat memberikan komen-komen lebih membina selepas ini sekiranya menghadiri taklimat yang disediakan khas untuknya, Kay Kim menjelaskan bahawa beliau menghargai hasrat FAM.
Namun, beliau berharap agar FAM lebih terbuka dan memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak tempatan.
"Saya tidak akan berhenti memberikan pandangan sekiranya itu hakikat yang sebenar. Saya mempunyai pengetahuan sejarah berbanding mereka.
"Jadi, kenapa saya harus berhenti, apa yang saya harapkan FAM akan lebih memahami dan tidak menyalahkan setiap kritikan yang diberi," jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan