SPECIAL ADS

17 April 2013

Kekayaan Negara Bukan Milik Pemimpin


ALOR GAJAH 18 Apr : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan tawaran Pakatan Rakyat Melaka bagi PRU13 dengan tema Melaka Milik Rakyat, malam tadi.

Beliau berkata, kekayaan negara bukannya milik pemimpin tetapi ia adalah milik semua rakyat.

"Rakyat berhak menikmati kekayaan negara dalam bentuk program-program yang meringankan beban rakyat seperti pendidikan percuma, penghapusan tol, penurunan harga minyak dan sebagainya.

"Rakyat mesti berfikir dan menilai tawaran dari Pakatan Rakyat sama ada pusat atau negeri," ujarnya pada majlis yang diadakan di pekarangan Pejabat PAS Kawasan Alor Gajah, Durian Tunggal yang dihadiri kira-kira 6,000 orang.

Ketiga-tiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat iaitu Adly Zahari (Pesuruhjaya PAS Melaka), Goh Leong San (Pengerusi DAP Melaka), Shamsul Iskandar (Pengerusi PKR Melaka) turut berucap.

Beliau berkata PAS komited untuk melahirkan Negara Berkebajikan kerana konsep tersebut bukan setakat kebajikan dalam bentuk kebendaan sahaja.

Jelasnya, konsep Negara Berkebajikan PAS tidak sama dengan 'Welfare State' yang diamalkan di negara-negara barat, ianya bukan sekadar bantuan kebajikan untuk rakyat semata-mata tetapi ianya juga merangkumi pimpinan yang bersih, telus, bebas rasuah yang sudah pasti dapat menyelamatkan harta negara.

Katanya, konsep itu diterima oleh semua rakyat dan PR sudah membuktikannya di Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah.

“Kita menyeru seluruh rakyat memberikan mandat kepada PR pada PRU13 di Melaka dan pusat bagi merealisasikan konsep ini yang terbukti berjaya memakmurkan rakyat dan negara," ujar beliau.

Sebanyak 40 tawaran telah digariskan sebagai suatu konsep bersepadu bagi melahirkan slogan Melaka Milik Rakyat.

Tawaran PR Melaka menggariskan 8 teras utama yang mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat sesuai dengan konsep Negara Berkebajikan yang digagaskan oleh PAS.

Antara perkara menarik yang ditawarkan ialah menurunkan kadar cukai tanah, cukai taksiran, lesen iklan perniagaan dan kadar parkir kenderaan; menurunkan tarif air; insentif perkahwinan dan kursus perkahwinan percuma; cuti bersalin 90 hari untuk isteri dan 7 hari untuk suami; sumbangan sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang berjaya mengikuti ijazah pertama dan RM600 diploma di IPTA dan IPTS yang diiktiraf; menyerap kakitangan kerajaan negeri dan agensinya yang berstatus kontrak kepada pekerja tetap dan sebagainya.

Tiada ulasan: