Kerusi Parlimen Gelang Patah yang bakal menyaksikan pertembungan dua 'otai' politik, iaitu Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan veteran DAP Lim Kit Siang pastinya menjadi tumpuan peminat politik tanah air.
Rata-rata berpendapat pertembungan dua tokoh itu ibarat pertandingan 'kalah mati' bagi karier politik masing-masing.
"Abdul Ghani adalah supremo dan arkitek kepada pembangunan Johor, dan merupakan seorang yang amat popular di kalangan pengundi, berbanding veteran DAP Lim Kit Siang yang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah.
"Semua pengundi termasuk pengundi Cina amat menghargai apa yang telah Abdul Ghani lakukan di Johor. Beliau (Abdul Ghani) adalah orang yang bertanggungjawab membangunkan Nusajaya dan Iskandar Malaysia di situ selain orang yang amat mengetahui selok-belok Johor berbanding Kit Siang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Nusajaya, adalah pusat pentadbiran baru Johor menempatkan kelompok industri dan logistik selatan, hab perubatan dan 'EduCity' atau bandar raya ilmu.
Kerusi Parlimen Gelang Patah dimenangi Tan Ah Eng daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 8,851 undi mengalahkan calon PKR Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, prospek kemenangan Abdul Ghani adalah tinggi dan adalah mustahil untuk orang yang banyak berjasa kepada negeri Johor ditolak mentah-mentah pengundi Parlimen Gelang Patah berbanding Kit Siang, penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timur selama dua penggal sejak 2004, yang datang hanya mencari makan.
Katanya, pertandingan kali ini juga akan menentukan hidup mati karier politik kedua-dua calon tersebut.
Selain Parlimen Gelang Patah, turut mencuri tumpuan ialah kerusi Parlimen Putrajaya yang ditandingi penyandangnya selama dua penggal sejak 2004 iaitu Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.
Pencalonan Husam menimbulkan pelbagai persoalan, antaranya motif penghijrahan beliau ke pusat pentadbiran kerajaan pusat itu, yang ditafsir ramai bertujuan 'mencuri' undi penjawat awam, selain dilihat sebagai calon berkemungkinan dilantik pakatan pembangkang sebagai perdana menteri, sekiranya berjaya ke Putrajaya.
Bagaimanapun Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ahmad Atory Hussein berpandangan elemen kenegerian tidak mampu mempengaruhi undi penjawat awam yang nyata menyokong agenda pembangunan dan transformasi yang dilaksanakan BN, selain Tengku Adnan sendiri mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang.
"Sudah tentu, peluang Husam untuk memang di situ amat tipis apatah lagi beliau bukanlah muka yang dikenali pengundi di Putrajaya berbanding Tengku Adnan," katanya.
Turut menarik perhatian ialah kerusi Parlimen Lembah Pantai di mana penyandangnya yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang akan ditentang Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Penampilan Zulkifli, penyandang kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu sebagai calon rakan BN nyata mengejutkan banyak pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan