04 Apr : Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak kecenderungannya untuk tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, katanya, sebagai seorang yang agak 'old-fashioned', beliau akan akur apa sahaja keputusan Najib, yang juga perdana menteri.
"Kalau diarah bertanding, saya akur. Kalau diminta undur, saya akur juga," kata anggota Parlimen Rembau itu.
Menulis di laman Facebooknya hari ini, Khairy berkata, yang penting, komitmen untuk memastikan kemenangan BN harus tidak berbelah bagi tidak kira sama ada menjadi calon atau tidak.
"Janganlah merajuk atau menentang jika tidak dipilih menjadi calon.
"Kita sentiasa berucap tentang perpaduan dan kesetiaan dalam parti, inilah masa untuk kita membuktikannya melalui amalan dan tindakan," kata Khairy.
Menceritakan kisahnya yang tidak dilantik menganggotai kabinet sehingga menjadi ejekan musuh politik, Khairy menegaskan keperluan berkhidmat dengan mengetepikan perasaan sedih, kecewa, marah atau merajuk.
"Mungkin pengalaman saya boleh menjadi teladan. Saya Ketua Pemuda Umno Malaysia, pangkat naib presiden Umno. Namun saya tidak dilantik dalam kabinet," tulis Khairy lagi.
Dalam pilihan raya umum lalu, Khairy mengalahkan calon PKR Badrul Hisham Shaharin dengan majoriti 5,746 di Rembau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan