SPECIAL ADS

25 April 2013

Mat Taib : Sokong DAP

PAYA JARAS  25 Apr : Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Haji Mohd Taib, yang menyerahkan borang menyertai PAS baru-baru ini mengajak orang Melayu untuk memberikan sokongan kepada DAP dan Pakatan Rakyat dan tidak termakan dengan propaganda Umno dalam pilihan raya ini.

“Jika anda memberikan undi kepada pemimpin seperti Tony Pua, Rafizi Ramli… pemimpin-pemimpin muda ini, saya memberitahu anda bahawa semua agensi kerajaan akan menjadi lebih selamat di tangan mereka,” kata beliau yang lebih dikenali Mat Taib dipetik berkata oleh The Malaysian Insider ketika berceramah di kampung Paya Jaras Hilir semalam.

Mat Taib berkata DAP kini ialah sebuah parti yang penuh pemimpin muda berkebolehan yang lebih mementingkan kepentingan awam daripada perkara lain.

Ditambah pula dengan pemimpin berkaliber di PAS seperti timbalan presidennya Mohamad Sabu dan naib presiden Datuk Husam Musa, Mat Taib berkata Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk membawa Malaysia ke ketinggian yang baru.

“Ini adalah pemimpin Kelas A… Saya memberitahu anda PAS-DAP-PKR sudah bersedia untuk mengambilalih sebagai kerajaan yang baru,” tegasnya.

Menyentuh mengenai cara berterusan BN menakutkan orang Melayu dengan dakwaan ‘Cina akan berkuasa’ jika PR memerintah, Mat Taib menyifatkannya sebagai idea yang palsu.

“Mereka sedang cuba menakutkan orang Melayu dengan berkata DAP sedang cuba mengawal kerajaan. Ini sama seperti menakutkan anak-anak kita dengan menjerit ‘Hantu’. Tiada hantu sebenarnya. Kita cuma nak takutkan anak kita. Orang Melayu tidak sepatutnya berasa takut,” terang beliau lagi.

Tiada ulasan: