SPECIAL ADS

16 April 2013

Nurul Izzah dan Raja Nong Chik berentap di Parlimen Lembah Pantai


16 Apr : Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin disahkan sebagai calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum 5 Mei ini.
Beliau ialah antara 12 muka baru yang diumumkan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertanding 13 kerusi parlimen Wilayah Persekutuan bersama satu-satunya muka lama, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang akan mempertahan kerusi Putrajaya yang disandangnya selama dua penggal.
Pemangku Ketua Umno Bahagian Titiwangsa Datuk Johari Ghani akan bertanding bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju Datuk Shafie Abdullah (Wangsa Maju), Datuk Ahmad Fauzi Zahari (Setiawangsa), Rozman Isli (Labuan), Setiausaha Agung Wanita Gerakan B. Jayanthi Devi (Segambut) dan Setiausaha Agung Pemuda Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai (Batu).
“Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan Datuk A. Chandrakumanan akan bertanding bagi kerusi Parlimen Kepong,” kata Timbalan Perdana Menteri semasa membuat pengumuman itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Empat lagi kerusi akan ditandingi calon MCA Frankie Gan Joon Zin (Bukit Bintang), Tan Kok Eng (Bandar Tun Razak), Teoh Chee Hooi (Cheras) dan Nicole Wong Siaw Ting (Seputeh).

Tiada ulasan: