SPECIAL ADS

21 April 2013

Pengundi Perlu Hati-Hati Fitnah Umno/BN

GELANG PATAH 22 Apr : Pengundi perlu berhati-hati dengan kempen fitnah cybertroopers pro-UMNO/BN yang memburukkan DAP dan Pakatan Rakyat sebaik saja bermulanya kempen rasmi Pilihan Raya Umum ke-13, semalam.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia berbeza dengan DAP bersama PAS dan PKR yang membentuk Pakatan Rakyat memulakan kempen secara bersih, adil dan telus.

“Ini adalah prinsip bersama kami ke arah membentuk Malaysia baru yang bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Saya sedar ada kempen kotor yang terus dilakukan pihak tertentu, terutamanya cybertroopers pro-UMNO/BN, yang menyebarkan fitnah dan pembohongan. Ini adalah kempen yang tidak sihat dan bersifat hasutan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang berkata, walaupun golongan itu terus memfitnah dan menyebarkan berta palsu, beliau bersama DAP dan Pakatan Rakyat tidak akan putus asa untuk terus berkempen dengan cara yang baik dan terhormat sebagaimana yang dilakukan sejak beberapa dekad lalu.

“Saya harap rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan, samada yang disebarkan melalui internet atau melalui ceramah. Fitnah amat berbahaya kerana ia boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.

“DAP difitnah sebagai perti perkauman, parti cauvinis, parti anti-Islam dan sebagainya. Semua ini tidak benar dan bohong belaka. DAP adalah parti politik yang sah yang menghormati Perlembagaan Persekutuan. DAP menolak segala bentuk politik perkauman dan diskriminasi kaum, agama dan gender.

“DAP sudah lama berjuang untuk memastikan kita semua hidup harmoni, aman damai sebagai rakyat Malaysia yang saling percaya-mempercayai antara satu sama lain, dan tidak perlu was-was. Inilah prinsip kami yang mengutamakan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau juga yakin rakyat Malaysia, terutamanya pengundi tidak menerima bulat-bulat fitnah dari cybertroopers UMNO/BN atau golongan yang membenci kaum lain, sebaliknya membuat pilihan yang bijak pada 5 Mei ini.-Roketkini.com

Tiada ulasan: