SPECIAL ADS

7 April 2013

Pilihan raya medan tunai amanah

SABAK BERNAM 07 Apr : Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan pengundi Melayu supaya jangan menjadikan pilihan raya sebagai medan mendapatkan wang ringgit sehingga lupa bahawa ia adalah satu amanah yang besar.

Menurutnya, kaedah menggunakan umpan kebendaan untuk mendapatkan sokongan dipraktikkan di zaman Firaun dan kini diikuti oleh pemerintah di zaman moden.


Bercakap dalam sesi dialog bersama masyarakat di Dewan Tun Razak, dekat sini, baru-baru ini, beliau memberi contoh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang menggunakan wang dan peruntukan bagi memastikan rakyat terus menyokong BN.

Beliau mengingatkan rakyat supaya jangan mudah terpengaruh dengan umpan kebendaan BN yang semata-mata mahu mendapatkan sokongan dan bukan berniat untuk membela nasib rakyat.

“Kita kena jadi ‘ikan’ yang cerdik yang hanya makan umpan sahaja dan tinggalkan kail, ini caranya. Jangan jadi macam ikan yang bodoh, ikan belukang.

Ikan belukang ini nampak hebat. Kiri kanan ada sengat tapi campak apa sahaja umpan semua dimakan sehingga tersangkut kail, jangan jadi macam ini,” tegasnya.

Menurut beliau, memilih pemimpin dan kerajaan adalah satu amanah dan ia suatu perkara yang sangat besar dalam Islam.

Katanya, jika rakyat memilih pemimpin yang tidak amanah atau khianat maka pengundi itu juga termasuk dalam golongan orang yang khianat dan jika rakyat memilih pemimpin yang amanah mereka juga masuk dalam golongan yang amanah.

Beliau berharap pegawai dan kakitangan kerajaan tidak perlu takut untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat kerana gaji yang mereka perolehi datang daripada rezeki Allah dan manusia hanya pemegang amanah.
“Ini harta rakyat bukan harta kerajaan dan kita hamba Tuhan bukan hamba kerajaan,” tegasnya.

Pada program “Sehari Bersama Presiden” baru baru ini di kawasan Parlimen Sabak Bernam dan Sungai Besar, Ustaz Abdul Hadi telah melepaskan perlumbaan motosikal lasak anjuran Kelab Motorcross Sabak Bernam di Parit 3, Sungai Besar.

Tiada ulasan: