SPECIAL ADS

7 April 2013

Poster : Keterbukaan MB Selangor


SHAH ALAM 07 Apr : Kerajaan negeri Selangor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan tidak membuang kain-kain rentang, poster dan bahan-bahan kempen pilihan raya yang di negeri ini selagi tidak menghalang lalu lintas.

Demikian kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

"Selaku Menteri Besar bagi kerajaan negeri sementara, saya telah meminta semua pihak berkuasa tempatan memantau untuk pastikan tiada perbuatan menurunkan bendera parti politik kecuali jika dipasang di tempat yang tidak selamat sehingga boleh mengganggu dan menghalang pemandu melihat dengan jelas kerana dikhuatiri boleh membawa kecelakaan di jalan raya.

"Begitu juga mana-mana kain rentang dan papan iklan yang dipasang di bahu-bahu jalan yang mengganggu pengguna jalan raya hendaklah dialih ke tempat sesuai.

"Saya juga telah mengarahkan PBT menurunkan kain rentang yang menghina pihak lawan serta menjatuhkan maruah seseorang," katanya.

Bagi beliau, Pilihan Raya Umum ke-13 dianggap sebagai ibu segala pilihan raya di Malaysia kerana buat pertama kali dalam sejarah politik di negara ini pakatan parti pembangkang iaitu Pakatan Rakyat akan  memberi saingan paling sengit kepada Barisan Nasional.

"Begitu pun, suka saya mengingatkan dan menyeru rakyat Malaysia tidak kira penyokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional supaya matang berpolitik dan menjadikan pilihan raya umum kali ini untuk melaksanakan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia," katanya.

Penting untuk kedua-dua pihak memastikan tiada insiden yang boleh menjurus kepada pergaduhan antara penyokong parti politik. 

Justeru, pemimpin dan penyokong mesti menjaga etika dan sentiasa mengutamakan keharmonian, tegas Khalid.

Sebagai salah seorang pemimpin yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya kali ini, Khalid mahu PRU ke-13 diingati sebagai pilihan raya penentu masa hadapan bukannya paling kotor sehingga memalukan kita dan generasi akan datang.

Tiada ulasan: