SPECIAL ADS

24 April 2013

PR : Ubah Sistem Pertukaran Guru 'Mesra Keluarga'



PUTRAJAYA 24 Apr : Calon PAS bagi Parlimen Putrajaya Datuk Husam Musa berkata, sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, sistem pertukaran guru akan diubah ke arah lebih 'mesra keluarga'.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Husam yang juga Naib Presiden PAS itu berkata, pada waktu ini ramai guru-guru terpisah jauh dari anak isteri masing-masing ekoran sistem pertukaran guru yang tidak berpandukan kepada konsep yang betul.

"Ada pasangan guru dipisahkan, suami di Johor, isteri di Perlis, isteri di Selangor suami di Sarawak. Apa perasaan mereka? Siapa yang akan bertanggungjawab menguruskan anak-anak yang masih kecil?

"Bayangkan ada pasangan muda terpaksa berpisah kerana tiada konsep mesra suami isteri. Ada yang berseloroh, macam mana kalau perdana menteri dan isteri dipisahkan begitu. Saya harap Datin Seri Rosmah dapat faham rungutan kakitangan awam ini," kata Husam.

"Kalau Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir negara, saya berjanji kepada lebih kurang 400,000 guru di Malaysia bahawa kalau ada pertukaran guru, kita akan buat dengan cara mesra keluarga," katanya lagi.

Konsep itu juga ujarnya akan diguna pakai kepada semua kakitangan awam di pelbagai sektor dan bukan khusus kepada guru sahaja.

Sehubungan itu juga katanya, satu forum Debat Putrajaya akan diadakan dan beliau menawarkan diri untuk tampil di pentas debat itu.

Beliau turut mengajak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tampil bersama bagi membincangkan tajuk 'Kebajikan Guru'.

Menurutnya, Muhyiddin adalah individu paling layak memandangkan beliau adalah menteri pelajaran.

Tiada ulasan: