SPECIAL ADS

11 April 2013

Rakyat Dapat Saham Air Jika PR Tawan Putrajaya


mb anwar umum calon bandar tun razak 03
BANDAR TUN RAZAK, 11 APRIL : Penduduk di Wilayah Persekutuan berpeluang memperolehi saham air hasil penstrukturan industri air Selangor jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya menguasai pentadbiran negara selepas pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha ini boleh dilaksanakan berdasarkan pengalaman beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Semasa di PNB beliau telah berjaya melaksanakan pengeluaran lapan juta saham amanah kepada rakyat Malaysia termasuk skim terkenal Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra.
“Jadi perkara ini bukan satu perkara impian tetapi kenapa tidak dapat dilakukan kerana mereka (BN) yang tidak melakukan ini apabila mereka tidak menjaga kepentingan rakyat.
“Hari ini kita memilih dua pasukan dengan satu daripada Pakatan Rakyat dan satu lagi daripada Umno-BN”.
“Yang mana satu memikirkan keuntungan korporat (BN) dan satu lagi memikirkan keuntungan rakyat (Pakatan Rakyat),” kata Abdul Khalid.
Beliau berkata demikian dalam ceramah Pakatan Rakyat yang diadakan di Padang Bolasepak Jalan Jujur di sini semalam.
Sebelum ini, Abdul Khalid mengumumkan hasratnya untuk menterbitkan saham industri air Selangor untuk lima juta penduduk di Selangor sekiranya PR diberi mandat mentadbir sekali lagi.
Penawaran saham air merupakan satu lagi penterjemahan cita-citanya sebagai Menteri Besar yang mahu rakyat Selangor memiliki kekayaan negeri.

Tiada ulasan: