SPECIAL ADS

24 April 2013

Selamatkan Malaysia daripada hutang!!!


24 Apr : PRU13 dijangka pelbagai pihak menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah di negara ini, apabila sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat dari sehari ke sehari, sehingga menyebabkan BN begitu cemas untuk menghadapinya. 

Lebih mencemaskan rakyat, negara dilihat berada dalam keadaan yang cukup bahaya, apabila hutang negara semakin meningkat dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi setelah berada di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Hutang Malaysia sekarang RM547 bilion, dengan kadar faedah sebanyak 4 peratus. Malaysia sebenarnya terpaksa membayar sejumlah faedah sekitar RM21.88 bilion.

Untuk dua tahun terakhir, Kerajaan Umno-BN telah meminjam sejumlah lebih RM100 bilion. Satu angka yang agak besar.

Dengan kedudukan hutang yang sebegitu tinggi, tidak hairanlah jika pakar-pakar ekonomi meramalkan, hutang Malaysia menjelang tahun 2020, dengan kadar faedah sebanyak 4 peratus, boleh mencecah sehingga RM1.21 trilion.

Jika begitulah kedudukan hutang negara di luar negara atau dengan Bank Dunia, apa akan jadi kepada negara dan rakyat Malaysia pada masa akan datang?

Sedangkan hutang yang mula dilakukan oleh Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi hanya berada pada kadar RM286 bilion sahaja, berdasarkan data hutang negara pada 2008.

Lima tahun lalu, rakyat Malaysia pernah melahirkan kerisauan menjelang PRU12 pada tahun 2008, mengenai kemungkinan Kerajaan Malaysia bakal menaikkan harga minyak selepas pilihan raya.

Rakyat Malaysia telah bertanya sendiri kepada pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab untuk menjawab persoalan yang bermain di fikiran kalangan rakyat Malaysia.

Dua minggu sebelum pilihan raya, rakyat Malaysia ketika itu mendapat satu jawapan yang menyenangkan hati mereka untuk seketika, apabila Najib yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu menafikan harga minyak petrol akan naik selepas pilihanraya.

Bagaimanapun, kerisauan rakyat Malaysia datang lagi apabila tertanya-tanya mengenai dasar yang akan diambil kerajaan Malaysia, selepas terdengar khabar yang bertiup kencang yang mengatakan kemungkinan kenaikan harga minyak dunia akan berlaku.

Setelah BN menang dan terus memegang tampuk pemerintahan, walaupun kehilangan majiroti 2/3 kerusi Parlimen buat pertama kalinya, kerisauan rakyat Malaysia menjadi kenyataan.

Suka atau tidak, rakyat Malaysia perlu menghadapinya. Bukan 10 sen atau 20, tetapi 78 sen kenaikan harga minyak petrol pada ketika itu.

Keadaan itu ditambah lagi dengan kenaikan tarif elektrik. Bagaimanapun, terma kenaikan tidak digunakan, tetapi dikatakan harga minyak petrol, diesel dan tarif elektrik diselaraskan semula. Pada hal, hakikatnya sama sahaja maksudnya.

Malah, kenaikan harga minyak petrol, diesel dan tol tidak hanya terhenti di situ sahaja, apabila kenaikan tol pula yang mengambil gilirannya.

Pada hal ketika itu, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab, keuntungan Lebuhraya Utara Selatan sahaja sudah mencecah RM18.3 bilion yang dimiliki oleh Tun Daim Zainuddin, pemilik syarikat Hati Budi Sdn. Bhd.

Persoalan yang bermain di minda rakyat sekarang, adakah selepas PRU13, harga minyak, harga barangan keperluan utama, tarif elektrik dan tol tidak akan dinaikkan lagi jika BN terus menang?

Ternyata, janji dan jaminan pemimpin Umno-BN untuk tidak menaikkan harga minyak, harga barangan, tarif elektrik dan tol sudah tidak boleh dipercayai lagi oleh rakyat.

Jadi, tidak hairanlah jika PRU13 yang sebegitu lewat diadakan oleh Kerajaan BN merupakan detik yang amat dinanti-nantikan oleh majoriti rakyat negara ini, bagi membolehkan mereka melakukan perubahan bagi menukar BN kepada Pakatan Rakyat.

Setelah 56 tahun BN diberikan peluang memerintah, rakyat bukan semakin senang, malah semakin terhimpit dengan pelbagai tekanan yang dilakukan oleh Umno-BN menerusi pelbagai cara demi kepentingan mereka dan kroni-kroni mereka, sehingga membuatkan rakyat perlu merasai untung nasib bersama Pakatan Rakyat pula.
Dengan kejayaan Pakatan mentadbir empat negeri yang berada di bawahnya selepas PRU12, rakyat berhak menaruh keyakinan kepada Pakatan Rakyat untuk membawa rakyat dan negara ke arah yang lebih baik seperti yang diimpikan.

Oleh Aziz Muda

Tiada ulasan: