SPECIAL ADS

19 April 2013

Watikah PAS Kepada Calon DAP


PULAU PINANG 20 Apr : DAP terpaksa menggunakan lambang PAS dan PKR setelah barisan kepimpinannya tidak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan yang menyebabkan surat watikah calon tidak boleh dikeluarkan untuk calon-calon DAP.

Atas sebab itu, DAP terpaksa menggunakan simbol PAS di Semenanjung dan simbol PKR di Sabah dan Sarawak.

(Lim Guan Eng menunjukkan surat watikah yang dikeluarkan oleh PAS untuk calon-calon DAP)

"Tindakan mengeluarkan surat 48 jam sebelum penamaan calon adalah tindakan jahat untuk sabotaj DAP," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang medianya di Wisma DAP Pulau Pinang petang ini.

Berdasarkan janji SPR, kata Lim Guan Eng, logo Roket boleh digunakan, semua calon-calon DAP akan diberikan dua surat watikah.

"Satu surat watikah untuk gunakan simbol Roket. Jika mereka menolak, kita akan gunakan surat watikah PAS yang menggunakan simbol bulan," beritahu Guan Eng.

Menurut Guan Eng, pihaknya telah menerima semua surat watikah dari PAS yang ditandatangani oleh Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.

"Kita akan cuba menggunakan simbol roket sehingga ke akhir jalan yang ada," kata Guan Eng.

Menurut Guan Eng, DAP memang bimbang menggunakan simbol PAS kerana takut pengundi tegar DAP tidak biasa dengan simbol itu dan tidak mengundi DAP.

Ketika ditanya adakah akan berlaku perbezaan antara calon DAP di seluruh negara nanti, Guan Eng berkata, beliau yakin ia (logo) akan sama.

"Sama ada logo Roket atau Bulan seluruh negara," katanya, "Jika SPR berbuat demikian, kita tahulah  apa yang dirancang mereka."

Dalam arahan pelaksanaannya, Guan Eng memberikan penjelasan berikut.

"Apabila ditanya oleh Pegawai Pengurus SPR, apa simbol yang mereka nak gunakan, calon-calon DAP akan berkata, mereka nak guna simbol Roket dan serahkan surat kuasa yang ditandatangani oleh saya.

"Jika diterima, maka calon-calon DAP akan gunakan simbol Roket dalam pilihan raya ini.

"Jika tidak diterima, kita akan serahkan surat kuasa kedua yang di keluarkan oleh Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS. Jika ini berlaku kita akan gunakan simbol bulan di Semenanjong dalam pilihan raya ini," kata Lim Guan Eng.

Tiada ulasan: