SPECIAL ADS

8 April 2013

55 Tahun BN Berkuasa, Baharu Memahami Kehendak Rakyat


KUALA LUMPUR 08 Apr : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal kerana Umno BN sanggup meniru Pakatan Rakyat dalam manifesto mereka.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor, pembentangan manifesto BN memperlihatkan BN benar-benar kekeringan idea serta kontang isu untuk ditawarkan kepada rakyat.

Malah, katanya mereka tidak merasa malu dicemuh oleh rakyat  kerana meniru idea PR, asalkan boleh mendapat undi daripada rakyat.


Beliau berkata, antara idea yang paling besar ditiru oleh BN adalah menurunkan harga kereta 20-30% secara berperingkat, menyeragamkan harga barang keperluan asas di antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, memperkenalkan skim sewa dan milik untuk perumahan rakyat, memberikan permit teksi individu, serta mengurangkan bayaran tol secara berperingkat-peringkat.

Bahkan, ujarnya menurut pengkaji politik, terdapat 22 perkara diciplak langsung oleh BN melalui PR.

Tambahnya, tatkala PR membentangkan tawaran melalui manifesto pada 25 Februari 2013 yang lalu, ramai pemimpin Umno mencemuh dengan mengatakan ianya amat populis, boleh menjahanamkan negara, negara menjadi muflis, retorik dan lain-lain lagi.

“Sekarang mereka pula yang menelan ludah mereka sendiri,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya lagi, tindakan BN juga menandakan apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu yang mustahil, tidak rasional dan populis.

Sebaliknya, ujar beliau lagi tawaran PR benar-benar menepati kehendak dan hasrat rakyat serta realistik untuk dilaksanakan kerajaan.

Sebenarnya, kata Riduan BN telah terlewat untuk membentangkan manifesto mereka kepada rakyat.

“Selama 55 tahun mereka memerintah Malaysia, dengan kuasa pemerintahan di samping segala sumber di tangan mereka, mereka telah gagal membela dan membantu rakyat,” katanya.

Menurutnya, BN gagal memahami kehendak rakyat selama ini, dan hanya tersentak untuk menawarkan sesuatu hanya setelah tamat hayat pemerintahan mereka iaitu selepas pembubaran parlimen.

Tiada ulasan: