SPECIAL ADS

7 April 2013

BN RM1,200 Setahun : PR Minima RM4,000 Sebulan


KUALA LUMPUR 7 Apr: Pengumuman pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang mahu dinaikkan BN kepada RM1,200 tidak menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.
Menerusi  manifesto BN yang diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak semalam, BR1M akan dinaikkan kepada RM1,200 bagi mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.
Manakala bagi golongan bujang dan berpendapatan RM2000 ke bawah pula akan menerima bantuan sebanyak RM600 setahun.
Menurut Azan, berbeza dengan Pakatan Rakyat, ia menawarkan kaedah lebih berkesan untuk meningkatkan pendapatan rakyat, misalnya menetapkan pendapatan isi rumah minima RM4000 sebulan.
“Pendapatan isi rumah jauh lebih penting dari pemberian One-off seperti BR1M. Pakatan mempunyai kaedah, misalnya polisi gaji minima, penetapan pendapatan dan kadar upah, atau menetapkan pembayaran cukai dan perolehan oleh korporat besar kepada kerajaan,” ujarnya.
“Pendapatan isi rumah sekarang tidak relatif dengan kos sara hidup semasa, yang mengakibatkan pendapatan boleh guna rakyat menurun,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, sasaran pendapatan RM 4,000 sebulan untuk setiap isi rumah mampu dicapai dengan menyelaraskan skala gaji pekerjaan di Malaysia.
Katanya, sasaran itu boleh dicapai dalam penggal pertama pemerintahan Pakatan dengan melahirkan pekerjaan bermutu dan memperkenalkan gaji minima RM1,100 sebulan.
Menurutnya, penetapan gaji minima akan menstruktur keseluruhan skema gaji dan mengimbangkan ketidakadilan daripada perbezaan pendapatan.
Mengulas lanjut, Azan berkata, tumpuan manifesto BN semalam tidak langsung menggambarkan usaha meningkatkan pendapatan rakyat, selain pemberian bersifat sementara dan rasuah untuk memancing undi.
Dalam pada itu, katanya, sasaran kerajaan untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2018 juga mungkin tidak tercapai dengan kadar pertumbuhan ekonomi semasa.
“Di bawah pemerintahan Najib, pertumbuhan ekonomi negara tidak pernah mencapai 6 peratus.
“Jadi ini menunjukkan segala tawaran dalam manifesto BN ini hanyalah sekadar retorik palsu untuk memancing undi rakyat yang sememangnya sudah lama menolak mereka,” katanya.
Malah, tambahnya, banyak perkara yang dikemukakan dalam manifesto BN mencedok idea dari Pakatan Rakyat.
“Ini menunjukkan betapa mereka sudah ketandusan dan kekeringan idea sehingga sanggup meniru apa yang kita (Pakatan Rakyat) lakukan,” katanya.

Tiada ulasan: