02 Apr : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Nor Mohamed Yakcop akan dipanggil bagi menjelaskan kerugian RM5.7 bilion.
Sekiranya berjaya membentuk kerajaan persekutuan, Pakatan Rakyat berjanji akan menjadikan isu kemasukan tukaran asing pada 1990 sebagai sasaran utama siasatan. Sehubungan itu, mereka akan meneliti peranan Nor Mohamed yang sekarang bertindak sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Jumlah itu diperoleh daripada Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia pada 1997, yang dimaklumkan pada September lalu oleh Timbalan Menteri Kewangan, Donald Lim Siang Chai kepada Parlimen.
"Jika beliau masih gagal menjelaskan selepas 20 tahun, dan jika Pakatan berpeluang membentuk kerajaan di Putrajaya, Nor Mohamed akan diheret untuk soal siasat," kata Lim dalam sidang media semalam.
Ahli parlimen Tasek Gelugor itu kini tertekan ekoran skandal matawang tersebut yang turut melibatkan beberapa pemimpin terkenal termasuk bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin yang dipercayai dalang yang mengarahkan penjualan besar-besaran matawang negara.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pernah mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan urusniaga pertukaran matawang asing ketika berada dalam kerajaan.
Arahan itu dakwa Anwar diberikan kepada Gabenor Bank Negara, Jaafar Hussein ketika itu.“Saya pasti BNM mempunyai rekod dan sahkan apa yang saya sebut.
“Saya selaku Menteri Kewangan ketika itu minta (perniagaan itu) dihenti serta merta. Perniagaan forex (mata wang) dibuat sebelum 1990, sebelum saya menjadi Menteri Kewangan.
“Perniagaan forex ini dilakukan dengan kebenaran Menteri Kewangan sebelum itu (Daim Zainuddin) dengan persetujuan Perdana Menteri ketika itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada 24 September tahun lalu.
Untuk rekod, Daim menjadi Menteri Kewangan dari tahun 1985 hingga 1991 sebelum Anwar menggantikannya bermula pada tahun yang sama sehingga dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998.
Anwar membuat penjelasan selepas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mencelah mengatakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pernah meminta Anwar meletakkan jawatan berikutan kerugian itu pada tahun 1993.
Sementara itu, Ketua Umum KEADILAN itu juga memaklumkan jumlah kerugian yang dialami oleh BNM dalam pasaran pertukaran wang asing (Forex) pada tahun 1991 boleh dijelaskan oleh Gabenor BNM sekarang, Zeti Akhtar Aziz.
Ini kerana Zeti adalah diantara orang yang bertanggungjawab dalam isu itu selain Nor Mohamed yang ketika itu memegang jawatan Pentadbir Kanan BNM.
Sebelum itu, dalam sidang perbahasan di Parlimen, Guan Eng meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh BNM akibat Forex dari tahun 1990 hingga 2012.
Guan Eng mempersoalkan mengapa spekulator matawang George Soros dikecam sebagai penyangak, ketika pihak yang bertanggungjawab atas kerugian RM5.7 bilion BNM melalui forex dinaikkan pangkat. ~roketkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan