MARANG 03 Apr : Pas bersedia menawarkan simbol partinya kepada calon DAP seandainya parti sekutunya itu dibatalkan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata langkah itu dibuat kerana amalan 'berkongsi' logo dalam pakatan pembangkang pernah diguna sebelum ini khasnya di Sabah dan Sarawak.
"PKR (Parti Keadilan Rakyat) ada pembahagian parti-parti di Sabah. Saya dimaklumkan di sana parti-parti (pembangkang) Sabah guna simbol PKR dan kita mengizinkan rakan PR (Pakatan Rakyat) guna simbol Pas.
"Seperti yang diuar-uar oleh media, kemungkinan DAP akan diambil tindakan sebab mesyuarat agung dia. Kalau DAP tidak dibenarkan guna simbol (roket) dia (oleh ROS), Pas bersedia beri simbol Pas," katanya dalam sidang akhbar di rumahnya di Rusila di sini hari ini.
Pas sedia memberi kerjasama tersebut sekiranya ROS menggantung DAP sebagai parti politik sementara menunggu siasatan mengenai dakwaan penyelewengan ketika pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu selesai.
Ketika pemilihan CEC Disember lepas sepatutnya ada 2,576 perwakilan mengundi bagi memilih 20 anggota CEC, namun 753 perwakilan yang layak tidak diberi peluang berbuat demikian.
Bagaimanapun, pimpinan DAP kemudian mendakwa ada kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dan mengarahkan pengiraan semula undi dan membuat pembetulan, menyebabkan beberapa anggota parti membuat aduan kepada ROS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan