SPECIAL ADS

3 April 2013

Anwar : Jaminan Aman / Debat

20080310anwar_ibrahim
PETALING JAYA 3 APRIL: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan jaminan peralihan kuasa secara aman oleh Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.
“Kita mengalu-alukan kenyataan Najib (Razak), bahawa peralihan kuasa akan berlaku secara aman sekiranya Pakatan memenangi PRU 13,” kata Anwar pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Beliau turut menyeru semua pihak terutama BN untuk memastikan etika pilihan raya dan prinsip demokrasi dipatuhi sepanjang tempoh berkempen.
“Sama-sama (kita) pertahan keamanan negara, dan kita gesa supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk membuat kekacauan,” katanya.
Anwar turut menyatakan keyakinan agar pasukan keselamatan bertindak secara profesional dan berlaku adil.
“Amanah serta tanggungjawab tersebut sejajar dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan bahawa rakyat berhak mendapat ruang bebas untuk menentukan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu,  beliau yang baharu sahaja mengumumkan akan bertanding di Perak sekali lagi mempelawa Najib untuk berdebat dan membentangkan dasar masing-masing.
“Pakatan mengulangi pelawaan kepada Najib untuk membentangkan dasar dalam sebuah debat, supaya rakyat boleh buat pilihan dengan penuh maklumat dan adil,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
“Rakyat Malaysia perlu merebut peluang setelah pembubaran Parlimen hari ini untuk memilih sebuah kerajaan yang berwibawa, bertanggungjawab, dan bersih dari rasuah,” sambung Anwar. – NS

Tiada ulasan: