SPECIAL ADS

3 April 2013

PM Enggan Umum Calon MB Selangor Sebelum PRU-13


PETALING JAYA 03 Apr : Barisan Nasional (BN) tidak akan menamakan calon Menteri Besar bagi mengetuai Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata terdapat calon mencukupi dalam senarai yang layak untuk menerajui kerajaan sekiranya BN berjaya merampas Selangor.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, ia akan menjadi pra matang baginya untuk mendedahkan mana-mana calon berpotensi sebelum PRU-13 diadakan.
"Saya tidak boleh katakan siapa calon MB berpotensi kerana seperti yang anda ketahui, ia bergantung kepada keputusan pilihan raya. Kami perlu menghantar nama kepada Sultan untuk memohon perkenan," katanya kepada Sin Chew Daily dalam satu temu bual eksklusif.
Najib berkata beliau ingin menghormati proses pilihan raya kerana sekiranya beliau menamakan calon MB tindakan itu mendahului proses tersebut.
Ketika ditanya sama ada terdapat ramai muka baru dalam senarai calon BN, Najib berkata, ia akan menjadi perkara penting.
"Akan ada beberapa perubahan di peringkat kebangsaan dan negeri. Itu yang boleh saya kata pada masa ini kerana sekiranya saya lebih spesifik ia akan mencetuskan pergolakan," katanya.
Beliau berkata, pemilihan calon BN adalah keputusan bersama dengan semua parti komponen yang juga harus diterima oleh peringkat akar umbi.
"Sekiranya anda memilih calon yang mereka tidak suka, mereka mungkin akan mensabotaj parti.
"Perkara itu pernah berlaku sebelum ini dan ia tidak seperti anda boleh memilih sesiapa saja anda suka.
"Jika anda mempunyai seseorang yang anda rasa bagus, peringkat akar umbi juga harus menerima calon tersebut," katanya.

Tiada ulasan: