SPECIAL ADS

4 April 2013

SPR Selangor Gagal Bertindak : Pengundi Fail Semakan Mahkamah Mohon Batal Nama


Charles Santiago Pengundi Fail Semakan Mahkamah Mohon Batal Nama 04
SHAH ALAM 4 APRIL : Seorang jurutera tempatan yang menetap di luar negara, S Dinesh, 32, memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya mahkamah mengeluarkan perintah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan namanya sebagai pengundi bagi kawasan Klang.
Pemohon yang tinggal di United Kingdom lebih 15 tahun membuat permohonan itu selepas mendapati namanya didaftarkan dalam senarai pengundi tanpa pengetahuannya oleh Penolong Pendaftar Umno, Hishamuddin Kassim selepas permohonannya bagi pembatalan itu gagal dipenuhi SPR Selangor.
Dalam permohonan di mahkamah, Dinesh menamakan SPR sebagai responden pertama manakala Ketua Pendaftar SPR Selangor sebagai responden kedua.
Bapa Dinesh, K Siva Kumar, 64, berkata, langkah SPR meluluskan pendaftaran anaknya sebagai pengundi adalah salah kerana ia dibuat tanpa persetujuan oleh pihak tidak diketahui.
“Saya mengemukakan perkara ini kepada SPR Selangor beberapa kali menerusi emel tetapi tidak diendahkan pihak tersebut. Anak saya berada di luar negara, bagaimana pihak tertentu boleh mendapat maklumat dirinya dan mendaftarkan dia sebagai pengundi.
“Kita tiada pilihan dalam isu ini dan perlu membawanya ke mahkamah. Kita berharap mahkamah akan membuat keputusan,” katanya.
Beliau memberitahu, nama anaknya diketahui tersenarai sebagai pengundi apabila dia menerima kad ucapan Hari Malaysia ditujukan kepada anaknya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu sedangkan dimaklumkan Dinesh tidak pernah berbuat demikian.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, apa yang berlaku jelas menggambarkan ketidaktelusan SPR sebagai badan yang mengendalikan pilihan raya di negara ini.
“SPR mendakwa sebagai antara suruhanjaya pilihan raya yang terbersih di dunia tetapi dalam isu ini ia bagaikan melindungi pihak terlibat yang mendaftar nama pengundi tanpa kebenaran.
“Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya menjelaskan akan berlangsung pilihan raya yang bersih dan bebas dengan SPR bertindak adil.
“Dalam kes ini kita mengemukakan bukti yang nyata namun maklumbalas diterima daripada SPR ialah jangan menimbulkan perkara yang tidak ada. Ini adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Charles berkata, maklumat diperolehi setakat ini terdapat sekurang-kurangnya 10 kes melibatkan rakyat tempatan dari Klang yang menetap di luar negara didaftarkan sebagai pemilih bagi pembuangan undi dalam negara.
Laporan polis dibuat Siva Kumar pada 31 Januari lalu tetapi dakwanya tiada tindakan daripada pihak berkuasa termasuk SPR sendiri.
Siva Kumar dimaklumkan bahawa anaknya diluluskan pendaftaran sebagai pengundi oleh SPR pada 7 Mac 2012.

Tiada ulasan: