SPECIAL ADS

18 April 2013

Suhakam : Polis Mesti Adil


KUALA LUMPUR, 17 APR : Panel Siasatan Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengesyorkan pihak polis supaya bersikap neutral dalam melindungi keselamatan peserta dan orang awam dalam mengedalikan sebarang perhimpunan di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata, pihak polis perlu menyelia perhimpunan aman seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dalam memastikan pengurusan orang awam dapat dilakukan dengan baik dan teratur.
“Polis juga harus meminimumkan gangguan kepada orang awam dan aktiviti di kawasan yang berkenaan.
“Ia boleh dicapai melalui mesyuarat bersama pihak penganjur serta latihan dan bengkel yang berterusan berhubung pengurusan dan kawalan peserta semasa perhimpunan berselari dengan piawaian antarabangsa,” katanya.
Lake Tee berkata demikian ketika membaca laporan siasatan awam ke atas insiden semasa dan selepas Bersih 3.0 pada 28 April 2012.
Tambahnya, polis juga harus memastikan peserta diberi masa yang mencukupi untuk bersurai secara teratur dan selamat. Selain menyediakan akses yang betul untuk keluar bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.
Tegasnya, polis juga perlu mengelak sebarang kejadian tidak diingini atau arahan yang bercanggah dengan memastikan semua arahan oleh Komander Lapangan sampai kepada kakitangan polis yang bertugas semasa perhimpunan.
“Pegawai yang melakukan penahanan perlu mengamalkan sikap berhati-hati dan mengelakkan penggunaan kekerasan yang tidak wajar dalam melakukan tangkapan serta memaklumkan kepada orang awam yang ditahan mengenai sebab mereka ditahan,” katanya lagi.
Para wartawan juga dinasihatkan supaya tidak memakai pakaian yang sama seperti peserta, selain perlu mempamerkan tag media sepanjang masa.
Tegasnya, petugas media tidak seharusnya menyertai aktiviti himpunan seperti menyanyi bagi mengelakkan mereka disalahtafsir sebagai peserta.
Selain itu, polis juga digesa supaya menjalankan siasatan ke atas laporan yang dibuat oleh orang awam berhubung tindakan kakitangan mereka bagi mengelakkan tuduhan berat sebelah dan tidak telus.
“Pihak berkuasa perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan yang boleh disalahtafsir sebagai membenarkan atau memperjuang apa-apa perlanggaran hak asasi manusia dan udang-undang di negara ini.
“Pihak berkuasa juga perlu bertindak secara profesional,adil dan saksama pada setiap masa dalam melaksanakan tugas agar mereka tidak kelihatan memihak kepada mana-mana pihak atau kumpulan tertentu,” katanya.

Tiada ulasan: