ALOR SETAR 1 APRIL: Pakatan Rakyat tetap akan mempertahan dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan jika berjaya menerajui pemerintahan negara, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kedudukan sekolah jenis kebangsaan serta sekolah agama juga akan diberi perhatian sama rata.
“(Tak kira) sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan serta sekolah agama tetap akan mendapat peruntukan modal di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat,” kata Anwar pada pertemuan bersama lebih 3,000 masyarakat Tionghua di Dewan Soo Heng, Taman Berjaya, Alor Setar, Kedah, semalam.
Beliau turut membidas tol yang dikenakan ke atas rakyat walaupun sebahagian besar darinya mendapat pulangan melebihi modal sebenar.
“Kutipan tol telah pun mencapai pulangan dua kali ganda dan melebihi modal yang dikeluarkan.
“Apakah kita mahu biarkan kerajaan mengutip tol sejak dulu, kini dan selamanya sepertimana menjadi pegangan Umno?,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin yang melimpah ke luar dewan.
Tambah Anwar, inilah membezakan pemerintahan BN yang konsisten memeras wang, sebaliknya Pakatan membantu meringankan beban rakyat.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Nasir Mustafa; Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik dan pimpinan Pakatan Negeri. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan