07 Sep : Menjelang perhimpunan agung Umno tidak lama lagi, serangan atas Datuk Seri Najib Razak (gambar) semakin ketara oleh para blogger Umno sehingga ada yang menggelarkannya sebagai “sewel”.
Syed Akbar Ali melalui blognya, OutSyed The Box, menggunakan nama Datuk “Sewel” Najib Tun Razak merujuk kepada presiden Umno itu.
Menurut kamus Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sewel bermaksud tidak begitu waras atau tidak siuman.
Serangan Syed Akbar dalam tulisannya bertajuk “The PM's Screwup Team - Senarai Pegawai Pemandu, Bersih Supporters Etc" itu disiarkan juga di blog Rocky Bru, milik Datuk Ahirudin Atan, blogger yang rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kedua-dua mereka sepakat pembentukan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), badan yang ditubuhkan kerajaan untuk memantau pelaksanaan polisi kerajaan, adalah membazirkan wang negara.
Mereka memaparkan bagaimana staf-staf Pemandu diberikan gaji tinggi berbanding dengan pegawai kerajaan lain yang jauh lebih lama bertugas dari mereka.
Selain itu, mereka mempertikaikan gaji tinggi diberikan kepada staf Pemandu walaupun mereka gagal dalam memacukan ekonomi hingga keadaan ekonomi negara semakin teruk yang menyebabkan kerajaan terpaksa menaikkan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter baru-baru ini.
Menurut Ahirudin, sejak ditubuhkan, Pemandu tidak disenangi oleh para blogger pro-Barisan Nasional (BN).
Secara sulit, para menteri di dalam Kabinet Najib sendiri juga tidak senang dengan Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang mengetuai Pemandu, kata Ahirudin bekas pengarang di beberapa akhbar pro-BN.
Syed Akbar pula melalui pengiraannya, Pemandu sudah membelanjakan RM337 juta dalam masa empat tahun ini.
Beliau mendakwa, sekumpulan orang muda dalam Pemandu ini yang memerintah negara bagi pihak perdana menteri.
Sebahagian dari mereka pula adalah penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), dakwa beliau dalam blognya.
"Mereka adalah dari firma Zaid Ibrahm and Co, Pricewaterhousecooper Singapura dan dari pelbagai tempat," katanya.
Menurut seorang pemimpin PKR, yang tidak mahu namanya dikenali, mengatakan kumpulan yang berkiblat kepada Dr Mahathir menjadikan isu Pemandu sebagai salah satu bahan serangan mereka.
Selain itu, mereka juga menyerang Perjanjian Persahabatan Trans Pasifik (TPPA), kegagalan Najib dalam pilihan raya umum lalu, pemansuhan Ordinan Darurat (EO) dan beberapa isu lagi.
"Saya berpendapat, mereka akan membiarkan Najib kekal dalam pemilihan Umno akan datang ini.
"Namun selepas beberapa bulan, mereka akan menekan Najib agar meletakkan jawatan sebagaimana Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ditekan sehingga meletakkan jawatan sebelum ini," kata pemimpin itu.
Menurutnya, tindakan tidak mencabar Najib dalam pemilihan akan datang adalah untuk mengelakkan Umno berpecah.
Bagi beliau, inilah asasnya mengapa Najib begitu ketara sekali mahukan kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan perpaduan.
"Najib mahu memberikan signal kepada Mahathir dan gengnya, beliau mempunyai 'option' lain iaitu Anwar," kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Beberapa hari lalu, wakil Najib menghubungi Anwar lagi bertanyakan kerjasama antara mereka.
Anwar menolaknya dengan alasan tidak akan meninggalkan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR).
Menurut mesej terbaru itu, Najib sedia mempertimbangkan jika Anwar mahu membawa PAS bersama namun tidak berapa senang dengan DAP.
"Selain memberikan mesej kepada Dr Mahathir, kita bimbang isu ini juga bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PR," katanya.
Semasa perutusan Hari Kemerdekaan ke-56 baru-baru ini, Anwar mengumumkan kesediaan mengadakan dialog secara terbuka dengan BN untuk membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara tetapi menolak agenda kerajaan perpaduan.
Tiga isu yang disebutkan Anwar adalah kemerosotan ekonomi, jenayah dan hubungan antara kaum yang beliau sifatkan sebagai masalah ketara negara masa kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan