07 Sep : Dalam ribut-ribut orang bercakap mengenai harga minyak dan langkah kerajaan menaikkan harganya yang dilihat hanya membebankan rakyat, Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein mengejutkan banyak pihak apabila memberi reaksi cukup pantas terhadap cadangan pemotongan elaun minyak untuk menteri dan pegawai tinggi kerajaan.
Idea pemotongan elaun itu pada mulanya dicadangkan oleh Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli sebagai menunjukkan para menteri turut menghayati langkah berjimat cermat kerajaan. Ia kemudian turut disokong oleh Perkasa dan pelbagai pihak lain turut juga menyambut baik cadangan itu.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno merupakan menteri pertama dan satu-satunya anggota kabinet Najib yang memberi reaksi positif terhadap cadangan itu setakat ini.
"Baik potong elaun saya sekarang kalau itu boleh bantu kukuhkan ekonomi, saya tidak teragak-agak dan sanggup lakukannya", demikian lebih kurang kata-kata yang diucapkan oleh Hishammuddin.
Baik betul ada pemimpin macam Hisham ni, walaupun anak bangsawan dia memahami derita rakyat, kata seorang ahli jawatankasa bahagian memberi komen tentang kemuliaan hati yang dilihatnya daripada kesediaan Hishammuddin itu.
Bukankah dia asyik bagi amaran saja sebelum ini, kata seorang teman yang lain.
Ini musim pemilihan, semua pemimpin kena tunjuk baik dan berjiwa rakyat, selalunya begitulah. Ada makna semua tu, pintas seorang ketua cawangan yang agak veteran menjelaskan kepada rakan-rakannya.
Mereka kemudian ketawa berdekah-dekah dan perbualan seterusnya meleret kepada pelbagai lagi karenah pemimpin yang cuba menunjuk baik yang mereka ketahui, bukan saja di musim pemilihan kali ini tetapi juga di musim-musim pemilihan sebelumnya.
Sementara idea pemotongan elaun minyak ini disanggah oleh seorang lagi menteri iaitu Nazri Aziz, bahkan menyifatkannya sebagai idea bodoh, Hishammuddin sebaliknya menunjukkan sikap baik dan budiman dalam hal ini.
Nazri tidak bertanding apa-apa jawatan dalam MT, bolehlah cakap begitu. Hisham pula perlukan undi, ketua cawangan veteran tadi menghuraikan dengan ringkas perbezaan kepentingan antara Hishammuddin dan Nazri Aziz. Mereka kemudian ketawa lagi dan gelihati apabila mengenangkan begini rupanya wajah pemimpin semata-mata untuk mendapatkan undi.
Itulah realitinya setiap kali menjelang pemilihan UMNO. Masing-masing pemimpin yang ingin menang dan merasakan kedudukannya tergugat cuba bersikap kreatif dan menonjolkan sesuatu yang berbeza mengenai diri mereka. Ada yang bersikap baik, budiman, terlebih Melayu, peramah, sentiasa senyum, membuka pintu pejabatnya kepada sesiapa saja dan macam-macam lagi.
Asalkan boleh menambah undi, itulah yang dilakukan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi juga dilihat cuba menonjolkan dirinya secara berlebih-lebihan apabila agak lantang bersuara mengenai pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat dan dilihat sanggup berbeza pendapat dengan Perdana Menteri.
Beliau juga bercakap mengenai bakas tahanan Ordinan Darurat yang berkeliaran dan rangkaiannya mengikut anggaran matematiknya, kemudian mendedahkan nama-nama kongsi gelap dan selepas ini dilaporkan mahu mendedahkan pula nama ketua-ketua kongsi gelap itu.
Meskipun usaha pencegahan jenayah dialu-alukan oleh semua orang tetapi Zahid dilihat seolah-olah cuba menonjolkan ketegasan dan meraih populariti dalam isu ini dengan bercakap terlalu kerap dan berlebih-lebihan mengenainya.
Ramai yang bertanya, setelah mendedahkan itu ini, tangkapannya mana?
Kedua-dua Zahid dan Hishammudin akan mempertahankankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilohan 19 Oktober depan. Selain seorang lagi penyandang yang turut mempertahankan jawatannya iaitu Shafie Apdal, tiga kerusi Naib Presiden UMNO kali ini juga cuba direbut oleh dua lagi pesaingnya iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dan Pengerusi Felda, Isa Samad.
Dengan Tengku Razaleigh masih belum memutuskan sama ada akan mencabar Najib atau tidak bagi jawatan Presiden UMNO, kerusi Naib Presiden setakat ini menjadi medan persaingan paling sengit. Pelbagai teori, andaian dan jangkaan sudah kedengaran tentang siapa yang dijangka menang dan siapa yang bakal kalah.
Selain berkempen menemui perwakilan yang berjumlah kira-kira 150 ribu orang kali ini, membentuk persepsi dan menonjol-nonjolkan diri juga dilihat sebagai strategi penting untuk menambah undi dan mendorong kepada kemenangan.
Zahid sudah memulakannya agak lama dan ratingnya agak baik ketika ini. Dalam waktu yang singkat Zahid berjaya menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang tegas dan boleh diharapkan. Perwakilan UMNO yang marah dengan sikap pengundi Cina yag enggan bersama dengan kerajaan serta sikap Najib yang terlalu memanjakan mereka, kini seperti meletakkan Zahid sebagai sandaran baru.
Di ketika Hishammudin kelihatan agak tenggelam popularitinya, terutama kerana pendekatannya yang agak lemah semasa menjadi Menteri Dalam Negeri, anak bekas Perdana Menteri, Hussein Onn ini rupa-rupanya tidak mudah putus akal mahu melonjakkan persepsi dan popularitinya.
Beliau kini dilihat satu-satunya anggota kabinet Najib yang berjiwa rakyat dan sanggup elaun minyaknya dipotong. Namanya kini turut melonjak dan menjadi sebutan walaupun belum diketahui pemotongan elaun minyak itu akan menjadi kenyataan atau tidak akhirnya.
Tetapi seorang lagi calon Naib Presiden UMNO, Ali Rustam dalam usahanya meraih undi dan populariti, lebih mengejutkan lagi ideanya. Beliau mahu menutup pusat judi Genting Highlands. Katanya, pusat judi itu mendatangkan banyak masalah kepada sosial dan jenayah yang sedang berlaku sekarang.
Walaupun Ali dikenali sebagai pemimpin yang mudah didekati, tiada protokol serta rajin menghadiri jemputan majlis mereka yang dikenalinya dan kekalahannya di Bukit Katil mungkin menzahirkan banyak undi simpati untuknya, idea dan gesaan menutup pusat judi itu bakal melimpahkan lagi undi daripada golongan agama dalam UMNO terhadapnya.
Dengan memperjuangkan sesuatu yang dilarang agama, Ali dilihat lebih Islamik berbanding calon yang lain, tambahan pula beliau juga kerap berbaju Melayu sejak kebelakangan ini. Bahkan sudah ada yang menganggap memberi undi kepada Ali sudah jatuh wajib hukumnya kerana niat murninya mahu menutup pusat judi Genting Highlands itu.
Orang juga seolah-olah terlupa untuk menyemak dan mengira berapa banyak kedai judi, pusat maksiat, kedai ekor dan pusat hiburan yang telah ditutup sepanjang Ali Rustam menjadi Ketua Menteri Melaka sebelum ini.
Soal penutupan Genting Highlands boleh dibuat atau tidak bukanlah isunya, soalnya ialah Ali telah berjaya mencipta strategi untuk menambah undinya untuk mengisi salah satu kerusi Naib Presiden, jelas ketua cawangan veteran tadi apabila ditanya mengenai gesaan Ali Rustam yang mahu menutup pusat judi itu
Ketika ini dilihat Zahid, Hishammudin dan Ali Rustam berjaya menonjolkan diri masing-masing melalui strategi dan pendekatan yang berbeza. Matlamatnya ialah mereka mahu dilihat sebagai pemimpin yang baik dan boleh diharapkan. Menjelang hari pengundian, mungkin banyak lagi idea-idea penonjolan diri ini akan dilakukan.
Bahkan Shafie Apdal dan Isa Samad yang ketika ini agak diam juga barangkali turut tampil dengan kecerdikan masing-masing tidak lama lagi untuk menonjolkan diri dan kebaikan bagi merebut kerusi Naib Presiden yang diidam-idamkan itu. Tunggulah!
Tidak saja calon-calon Naib Presiden, calon-calon bagi jawatan lain juga akan dilihat berubah watak dan berbeza sikapnya. Semuanya akan kelihatan baik-baik, berjiwa rakyat, peramah, senang didekati, kuat Melayunya dan sayangkan Islam.
Begitu adanya, dulu, kini dan selamanya.
Oleh: Shahbudin Husin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan