SPECIAL ADS

2 September 2013

Nurul Izzah : Aku mahu hidup seribu tahun lagi

02 Sep : Pada 15 tahun lalu, pada 2 September 1998 satu peristiwa penting berlaku dalam arena politik di Malaysia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat oleh perdana menteri pada ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan kerana dikatakan terbabit dengan aktiviti seks dan liwat.
Peristiwa itu bukan sahaja mengubah hidup Anwar daripada pembesar politik kanan negara kepada orang paling dibenci Barisan Nasional (BN), ia turut mengubah hidup anak sulung hasil perkongsian hidupnya bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah, gadis biasa yang meminati muzik Radiohead berubah hidupnya menjadi aktivis politik dan kini menjadi Naib Presiden PKR merangkap ahli Parlimen Lembah Pantai.
“Saya rasa 1998 adalah tahun di mana keremajaan saya dirampas. Tetapi saya tidak menyesal, cuma yang saya kesal adalah bapa saya masih lagi menanggung kesakitan akibat dipukul ketika ditahan dulu.
“Reformasi tercetus tatkala saya bergelar seorang mahasiswi, gadis belasan tahun. Sebulan sebelumnya saya sibuk dengan dunia akademik sebagai mahasiswi Universiti Teknologi Petronas,” kata Nurul Izzah kepada The Malaysian Insider mengimbas kembali peristiwa 15 tahun lalu yang mengubah hidupnya.
Anwar ditangkap pada 20 September 1998, selepas menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu rakyat dan menjelaskan mengenai apa yang berlaku kepada dirinya selain melancarkan gerakan reformasi.
Sejak hari itu Anwar dipenjarakan serta naik dan turun mahkamah sebelum dibebaskan enam tahun kemudian. Nurul Izzah menemani ibunya Dr Wan Azizah berjuang untuk membebaskan Anwar.
“Kami beruntung kerana mempunyai banyak sokongan di sekeliling kami untuk melawan balik. Ia untuk mendapatkan kembali demokrasi. Ia untuk kembalikan papa kepada kami serta membebaskan tahanan politik lain,” katanya.
Pembebasan Anwar pada 2004 selepas enam tahun dipenjara tidak menghentikan wanita ini daripada terus berjuang menggunakan platform politik.
Nurul Izzah pertama kali bertanding pilihan raya pada 2008 semasa pilihan raya umum ke-12 dan berjaya mengalahkan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang juga seorang menteri.
Pada 2010, beliau memenangi jawatan Naib Presiden PKR dengan undi tertinggi dalam pemilihan parti itu.
Jika tidak kerana peristiwa 2 September itu, Nurul Izzah kini mungkin seorang jurutera yang tidak perlu memikirkan hal politik seperti hari ini.
“Semangat reformasi ini mengingatkan saya kepada kata-kata Chairil Anwar, ‘aku mahu hidup seribu tahun lagi!’,” katanya merujuk kepada penyair Indonesia itu dan berikrar untuk terus aktif berpolitik sehingga reformasi politik dan ekonomi berlaku di Malaysia.
“Kerana perjuangan ini merentasi masa, melangkaui individu dan memaknakan kemerdekaan diri,” katanya.
Pada pilihan raya 5 Mei lalu, naib presiden PKR itu sekali lagi menumbangkan gergasi politik Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai bagi penggal kedua.
Sempena ulang tahun ke-15 tarikh 2 September, ibu kepada dua anak ini akan mengumpulkan bahan bersejarah mengenai peristiwa itu dan akan diterbitkan.
“Bila tiba tarikh 2 September, saya persiapkan senarai warkah papa dari penjara dan nilai maknanya satu persatu. Insya Allah ia akan dibuku dan diterbitkan tidak lama lagi,” katanya. 
Oleh: Amin Iskandar

Tiada ulasan: